BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 8, 2010

Pembubaran Angkatab Tentera Bersama 1 Operasi Khas Timor Leste

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Dato' Haji Zainal Abidin Haji Zin, Timbalan Menteri Pertahanan,

Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Dato' Seri Mohd. Anwar Mohd. Nor, Panglima Angkatan Tentera Malaysia,

Yang Berbahagia Dato' Ahmad Latffi Hashim, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan,

Yang Berbahagia Panglima-Panglima Perkhidmatan,

Yang Berusaha Kolonel Ismet Nayan Ismail, Komander Operasi Bersama Bagi Kontinjen Malaysia,

Dif-dif jemputan, yang diraikan warga Angkatan Tugas Bersama 1 Operasi Khas Timor Leste dan para hadirin yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kepulangan tuan-tuan ke tanah air setelah bertugas di Dili, Timor Leste, sebagai pengaman yang telah dimandatkan atas inisiatif YAB Perdana Menteri.

Saya juga ingin memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan hidayah serta perlindungan-Nya, tuan-tuan telah selamat kembali ke tanah air serta ke pangkuan keluarga tercinta.

Tiga bulan yang lalu, tuan-tuan dengan penuh semangat telah berlepas ke Timor Leste dengan tujuan mulia hendak membantu mengembalikan ketenteraman awam akibat pergolakan politik yang berlaku di negara tersebut. Hari ini saya merasa amat berbangga sekali untuk menyambut dan menerima kepulangan tuan-tuan yang telah berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut dengan begitu cemerlang sekali.

Seperti yang kita sedia maklum, Angkatan Tugas Bersama 1 Operasi Khas Timor Leste menyaksikan negara kita telah berganding bahu dengan pasukan pengaman dari negara Australia, New Zealand dan Portugal menyumbang perkhidmatan bagi meringankan beban kerajaan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Timor Leste. Saya sedar tugas ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan apatah lagi di saat itu tuan-tuan telah diarah untuk bertugas dalam keadaan ketegangan masih memuncak.

Huru-hara dan pembunuhan juga masih lagi berlaku dan ini menuntut komitmen yang begitu tinggi dari setiap pegawai dan anggota ATM yang dihantar bertugas di sana. Saya turut diberitahu bahawa cuaca di sana ketika itu agak panas dan kering, namun perkara tersebut tidak pula berjaya merendahkan semangat dan moral pasukan kita.

Syukur alhamdulillah, dengan berkat ketabahan dan disiplin yang tinggi, berbekalkan semangat yang kental dan perlindungan Allah, tuan-tuan telah dapat mengharungi cabaran getir ini. Malah berjaya pula melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kesempurnaan dan berkesan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam tempoh bertugas dari 25 Mei sehingga tamat operasi pada 27 Ogos lalu, kontinjen ATM yang diketuai oleh Kolonel Ismet Nayan Ismail bukan sahaja telah berjaya mengembalikan ketenteraman serta kestabilan dari segi keselamatan dan politik dalam negara Timor Leste, bahkan turut berjaya memenangi hati rakyat negara tersebut.

Ini kerana kita berjaya menambat hati mereka menerusi perkhidmatan perubatan yang ditawarkan oleh ATM kepada penduduk tempatan yang memerlukan rawatan. Saya juga difahamkan terdapat dua orang kanak-kanak adik-beradik yang mengalami sakit tulang belakang telah diberikan rawatan dan usaha juga telah dibuat bagi membawa kedua-dua beradik itu ke Malaysia bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjutan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya diberitahu sumbangan kontinjen ATM dalam operasi ini telah mendapat sanjungan dan pengiktirafan bukan sahaja dari pihak pemerintah dan rakyat Timor Leste tetapi juga dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tentera Australia dan pelbagai pertubuhan lain. Saya merasa terharu dan amat berbangga sekali dengan pengiktirafan ini yang sekali gus membuktikan ATM sememangnya sebuah angkatan tentera yang profesional dan disegani.

Kesediaan tuan-tuan melaksanakan banyak tugas sampingan atas inisiatif sendiri sedikit sebanyak turut mencorakkan kejayaan kontinjen kita. Misalnya, sumbangan bakti tuan-tuan membina sebuah bilik komputer dan membaiki beberapa bahagian bangunan rumah anak yatim dengan titik peluh sendiri.

Begitu juga dengan bantuan yang tuan-tuan berikan kepada penduduk Islam dan Masjid An Nur. Usaha ini harus dipuji kerana kehadiran tuan-tuan telah menyemarakkan lagi suasana masjid tersebut serta telah dapat mengembalikan syiar Islam di bumi Timor Leste. Saya yakin rakyat Islam Timor Leste akan mengingati pengorbanan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh tuan-tuan sekalian.

Kini tanpa tuan-tuan operasi keamanan di Timor Leste selepas ini akan dikelolakan sepenuhnya oleh PBB. Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan terus ditugaskan untuk berkhidmat di bawah panji-panji PBB. Adalah menjadi harapan negara dan rakyat Malaysia agar Timor Leste akan terus dapat menikmati kehidupan yang lebih terjamin dan selamat walaupun kontinjen ATM telah kembali ke Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Perbarisan pada petang ini diadakan khas bagi menyambut kepulangan seramai 663 pegawai dan anggota ATM yang telah bertugas di Timor Leste. Sesungguhnya kerajaan merasa bangga kerana anak-anak watan kita telah berjaya menyelesaikan satu lagi misi penting untuk melihat keamanan di rantau sebelah sini terus terpelihara.

Saya juga sedar bahawa banyak pengalaman yang telah dikutip oleh tuan-tuan sepanjang bertugas di sana. Gunakanlah segala pengalaman tersebut untuk tujuan kebaikan serta bagi tujuan memajukan diri dalam kerjaya. Gunakanlah juga ilmu-ilmu baru yang dipelajari sepanjang operasi di Timor Leste bagi mempertingkatkan kemahiran dan profesionalisme.

Saya percaya ia boleh membantu dalam aspek gerakan, pentadbiran dan latihan, dan sudah tentunya amat bernilai sebagai unsur-unsur pengajaran. Saya ingin menyarankan agar pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi didokumenkan agar sumbangan ini menjadi bahan rujukan dan panduan kepada mereka yang memerlukan untuk kebaikan perkhidmatan atau misi selanjutnya.

Akhir kata, saya bagi pihak kerajaan Malaysia amnya dan ATM khasnya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan-tuan kerana telah berjaya menyempurnakan misi khas Timor Leste dengan cemerlang. Saya berharap kecermerlangan ini akan dijadikan budaya kerja dalam menjalani kehidupan seharian tuan-tuan. Tidak dilupakan, penghargaan juga ditujukan kepada para isteri dan keluarga tuan-tuan di aas pengorbanan mereka berpisah dengan orang tersayang bagi menyahut panggilan menunaikan tugas dan tanggungjawab negara.

Dengan ini saya mengisytiharkan Angkatab Tentera Bersama 1 Operasi Khas Timor Leste dibubarkan dengan rasminya.

Sekian.

0 comments: